WOODS mencuri tumpuan di mana saja dia bertanding. — FOTO AFP
AFP

TIGER Woods dan Rory McIlroy menjadi tarikan utama dalam barisan bertaraf dunia ketika Jelajah PGA AS memecah tembok baharu dengan kejohanan sulung di Jepun hujung minggu ini.

Kejuaraan Zozo membuka tirai esok menawarkan AS$9.75 juta (RM40.8 juta) hadiah wang tunai dan menjadi kedua daripada tiga kejohanan baharu Jelajah di Asia menghampiri AS$30 juta (RM125.7 juta) secara keseluruhan.

Ia bermula minggu lalu pada Piala CJ di Korea Selatan, dimenangi Justin Thomas dan berakhir minggu depan pada kejohanan Juara-Juara WGC-HSBC yang menawarkan AS$10.25 juta (RM42.9 juta) di Shanghai.

Woods, yang menang kejuaraan utama ke-15 pada Masters AS tahun ini, akan disertai di Accordia Golf Narashino Country Club di depan beribu-ribu penyokong fanatik golf Jepun dengan pemain ternama dalam sukan golf.

Pemain nombor dua dunia dan Pemain Terbaik Tahunan Jelajah PGA, McIlroy, pemain ranking kelapan Xander Schauffele, Jordan Spieth dan juara Terbuka AS, Gary Woodland antara beberapa nama yang mampu menggegar.


WOODS (kiri), Jason Day (tengah) dan McIlroy berbual pada lubang pertama pertandingan ‘Japan Skins’ di Narashino Country Club, Chiba, kelmarin. — FOTO AFP

Thomas menyasarkan untuk meneruskan rentak mengagumkan dengan kemenangan kelima dalam 10 pertandingan di Asia selepas memenangi Piala CJ kali kedua dalam tempoh tiga tahun Ahad lalu sekali gus melonjakkannya ke tangga keempat dunia.

Namun semua tumpuan terarah kepada Woods dan lutut kirinya yang bermasalah selepas pemain nombor 10 dunia itu menjalani pembedahan arthroscopic dua bulan lalu.

Woods yang tersenyum berkata kelmarin, pemulihannya “berjalan lancar” sebelum dia bermain perlawanan pertunjukan 18 lubang di lapangan Kejuaraan Zozo di wilayah Chiba.

“Saya pulih mungkin seminggu lebih awal. Musim saya berakhir sedikit awal daripada yang saya jangkakan,” kata Woods yang berhasrat untuk bermain pada Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

“Saya menjalani pembedahan agak awal dan pemulihannya juga lancar.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 2:18 PM