CHEONG Min (tengah) diapit pemenang pingat perak dan gangsa. — FOTO WFM
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


JAGUH wushu Tan Cheong Min mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas nandao wanita pada Kejohanan Dunia edisi ke-15 di Shanghai, semalam.

Ia kejayaan kedua direkodkan atlet berusia 21 tahun itu selepas memenangi emas acara sama pada kejohanan Masterships Dunia di Chungju, Korea Selatan bulan lalu.

Cheong Min muncul juara selepas mengumpul 9.610 mata mengatasi peserta Iran, Hanieh Rajabi (9.490) dan Darya Latisheva dari Uzbekistan gangsa (9.483).

Kejayaan itu menepati sasaran Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) yang yakin atlet negara mampu meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas selepas mendapat bimbingan juara dunia, Mao Ya Qi.

Ia juga pasti menyuntik semangat Olahragawati Melaka 2019 itu untuk mencipta kejutan pada Sukan SEA Filipina bulan depan.

Skuad negara turut meraih dua perak menerusi atlet lelaki, Wong Weng Son dalam acara changquan dan jianshu serta Low Choon How (taijiquan).

Kejohanan bermula Ahad lalu dan berakhir hari ini juga menjadi medan ujian buat peserta negara menjelang temasya Sukan SEA Filipina.

Pada kejohanan sama di Russia dua tahun lalu, skuad wushu membawa pulang dua pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 2:12 PM