STERLING (dua kanan) menjaringkan gol kelima City bagi melengkapkan hatrik di Etihad. — FOTO Reuters
Reuters

RAHEEM Sterling meledak hatrik dalam tempoh 11 minit dan turut membantu dalam semua lima gol ketika Manchester City bangkit daripada ketinggalan sebelum membenam kelab Itali, Atalanta 5-1 pada aksi Kumpulan C Liga Juara-Juara di Manchester, awal pagi tadi.

Penyerang Sergio Aguero turut menyumbat dua gol pada babak pertama di Stadium Etihad namun pemain sayap England, Sterling muncul pemain terbaik perlawanan ketika tuan rumah merakam kemenangan ketiga berturut-turut untuk mendahului lima mata selepas separuh kempen peringkat kumpulan.

Atalanta kini tewas semua tiga aksi dalam penampilan sulung Liga Juara-Juaram namun bermula menakjubkan apabila mendahului menerusi sepakan penalti Ruslan Malinovsky.

City amat rakus meratah pelawat namun mereka mengakhiri perlawanan dengan 10 pemain apabila bintang remaja Phil Foden menerima kad kuning kedua pada minit ke-83.

“Ia keputusan yang amat bagus. Cara Atalanta bermain mencetus keputusan ini,” kata pengurus City, Pep Guardiola kepada BT Sport.


AGUERO (tengah) meledak gol menerusi sepakan penalti menentang Atalanta, awal pagi tadi. — FOTO EPA

“Setiap pemain mereka mengawal setiap pemain kami di seluruh padang, ia membuatkan kami tidak selesa, kami tidak biasa bermain dengan pasukan ini.

“Tidak hairan Atalanta menduduki tangga ketiga di Itali musim lalu malah musim ini, mereka bermain bagus, jadi ia satu keputusan mengagumkan. Tiga lagi mata. Satu lagi kemenangan dan kami akan ke peringkat berikutnya.”

Atalanta mempamerkan keazaman tinggi pada awal babak dan mendapat peluang mereka selepas 28 minit.

Malinovsky menyempurnakan sepakan penalti selepas Fernandinho menjatuhkan Josip Ilicic di hujung kotak penalti.

“Raheem amat cemerlang. Dia patut menjaringkan satu gol lagi. Bukan hanya bersama bola, tanpa bola juga dia banyak membantu kami,” kata Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 7:59 AM