SHALIN raih pingat emas acara individu dalam Kejohanan Tenpin Boling Asia 2019 di Kuwait.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


RATU tenpin boling negara, Shalin Zulkifli jelas masih memiliki sentuhan magis apabila meraih pingat emas acara individu dalam Kejohanan Tenpin Boling Asia 2019 di Kuwait hari ini.

Atlet berusia 41 tahun itu, muncul juara dengan mengumpul 1,498 jatuhan mengatasi atlet Indonesia, Nadia Pramanik Nuramalina (1,492) dan rakan senegara Sin Li Jane (1,471) untuk pingat perak dan gangsa.

Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok berkata, Shalin mempamerkan permainan bertenaga untuk mengungguli saingan selepas enam perlawanan.

“Shalin sekali lagi mempamerkan naluri seorang legenda untuk meraih emas dalam kejohanan boling Asia ke-25.

“Dia memerlukan ‘strike’ di frame terakhir untuk meraih emas dan berjaya mendapatkannya sekali gus membuktikan dia akan memberikan yang terbaik dan tidak akan menghampakan negara apabila diberi peluang.

“Ini adalah pingat emas yang amat bermakna daripada seorang legenda,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Ditanya sama ada kejayaan itu mencerahkan peluang atlet senior berkenaan diserap dalam skuad bowling ke Sukan SEA di Filipina, beliau berkata, masih ada beberapa perlawanan akan disertai atlet negara selepas ini.

“Jurulatih akan membuat keputusan sebaik tamat kejohanan. Sudah pasti ia bagus untuk beliau memenangi pingat emas,” katanya.

Sementara itu, kemenangan itu menyaksikan Shalin semakin menghampiri rekod 22 emas diraih timbalan ketua kontinjen negara (CDM), Nurul Huda Abdullah.

Untuk rekod Shalin mengumpul 20 emas sejak menyertai Sukan SEA 1993 manakala Nurul Huda kekal unggul sebagai penyumbang terbanyak sejak 30 tahun lalu dengan 22 emas sepanjang pembabitannya dari 1983 hingga 1989.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 7:46 PM