Marhan mahu skuad negara menang pada kelayakan. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


"DI luar orang tetap akan berkata-kata dan apa yang boleh kami buat adalah untuk menang di kempen kelayakan."

Demikian pandangan pemain senior skuad hoki negara, Muhammad Marhan Jalil yang mengakui dia serta rakan sepasukan tidak mampu untuk menepis tanggapan negatif peminat yang kurang yakin dengan kemampuan skuad negara untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi aksi play off bertemu Britain pada 2 dan 3 November di London.

Baginya setiap individu mempunyai pandangan sendiri dan sebagai pemain dia hanya mahu membuktikan segala-galanya ketika di atas padang.

"Apa yang boleh kami lakukan ialah dengan memberi persembahan paling terbaik "Kami tiada pilihan lain selain perlu layak (ke Olimpik) bagi memberikan keyakinan kepada peminat dan terus memberi sokongan kepada skuad hoki negara," katanya.

Yang pasti katanya, skuad negara ketika ini berada di dalam kemuncak prestasi dan sudah bersedia berdepan misi hidup mati di London.

Skuad negara akan menghadapi dua perlawanan ujian bersama pasukan kelab di Belanda, HOC Gazellen-Combinatie serta HC Bloemendaal pada Sabtu dan Ahad ini.

Mereka kemudian akan terus ke London untuk dua aksi timbal balik dengan Britain di Pusat Hoki dan Tennis Lee Valley dengan hanya pemenang layak beraksi di Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 7:35 PM