ANDREW (tengah) bergambar bersama Ketua Jurulatih Mohamad Ghifari Suleiman (dua, kanan) pada sidang media Pasukan Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil. FOTO: Bernama
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


SKUAD sukan berhalangan terpaksa 'berkampung' seminggu lebih awal di Filipina selepas kegagalan tuan rumah Sukan SEA ke-30 itu membekalkan pelan skematik untuk acara berkenaan.

Pengurus pasukan, Andrew Chiu berkata, langkah itu bertujuan untuk membiasakan atlet negara dengan trek dan halangan sebenar yang akan ditempuhi mereka.

Katanya, setakat ini persiapan atlet berjalan lancar berpandukan kepada bentuk halangan standard digunakan.

"Sebelum ini kita pernah minta (skematik), tapi sampai hari ini mereka tidak pernah bagi. Alasannya halangan lebih kurang sama. Contohnya, palang memanjat (monkey bar) yang digunakan lebih kurang sama, cuma masalahnya kita tidak tahu berapa jarak.

"Namun, kita pernah pergi ke kejohanan sukan berhalangan ASEAN di Filipina sebelum ini dan nampak simulasi halangan yang digunakan sekali gus dapat mencongak bentuk latihan.

"Sebab itu kita pergi awal pada 23 November untuk biasakan atlet dengan bentuk halangan. Sebaik pemasangan halangan siap pada 30 November, kita akan cuba pada sebelah malam dan keesokan harinya sebelum pertandingan sebenar pada 2 Disember," katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara, hari ini.

Beliau berkata, Mohd Saddam Mohd Pittli, Wilkiam Yoong Wei Theng dan Mohd Redha Rozlan atau lebih dikenali 'Mat Redho' dan tiga atlet wanita, Tan Jie Yi, Yip Hui Teng dan Salfarina Mohd Drus akan menggalas cabaran negara julung kali di Sukan SEA.

Katanya, mereka akan bertanding dalam enam kategori iaitu 100 meter (m), 400m, 4 x 100m dan lima kilometer lelaki dan wanita.

"Kita menyasarkan enam pingat, tiga daripadanya pingat emas iaitu bagi acara lima kilometer, 100 m lelaki dan acara berpasukan.

"Persiapan atlet kini di peringkat untuk meningkatkan perkara minor bagi atlet mencapai prestasi tertinggi," katanya.

Mengulas lanjut, Andrew berkata, Filipina dikenal pasti sebagai pencabar terkuat negara untuk sukan berhalangan.

"Persaingan adalah antara Malaysia dan Filipina untuk menang emas atau perak. Saya dah beritahu atlet kita nak kecewakan tuan rumah yang mempunyai kelebihan.

"Bukan negara lain tidak kompetitif, tapi tak setanding kita lagi yang ada atlet terkenal seperti Mat Redho dan Saddam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 7:18 PM