AZIZUL tidur ‘lena’ bersama emas pecut dan perak keirin. — FOTO Team Azizul
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


PENCAPAIAN luar biasa meraih emas ke-10 pada Kejohanan Trek Asia dicapai dengan penuh sukar jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang.

Pelumba bergelar The Pocket Rocketman itu berkongsi secara terperinci kejayaan meraih emas pecut individu di Korea Selatan semalam menewaskan Yuta Wakimoto dari Jepun 2-1 menerusi media sosial.

Dengan menggelarkan dirinya sebagai “The Man Who Refused To Be Beaten” (individu yang enggan ditewaskan) dia memanjangkan syukur kepada Allah susulan kemenangan itu.

“Termenung membisu saya dalam bas ketika perjalanan pulang dari velodrom ke hotel yang mengambil masa sejam. Untuk makluman, acara pecut ini jauh bezanya dengan keirin.


AZIZUL (tengah) diapit pelumba Jepun, Wakimoto (kiri) dan Tomohiro Fukaya di Jincheon, semalam. — FOTO Fadhil Mohd Zonis

“Keirin membabitkan enam pelumba, jadi taktik akan menjadi lebih kompleks dan kebanyakan masa taktik anda boleh diganggu pihak lawan seperti himpitan, kepungan dan sebagainya.

“Dalam keirin, pelumba boleh menggunakan taktik musuh untuk membantu taktik peribadi mereka. Sebagai contoh, mengekori lawan ke hadapan (boleh jimat tenaga) atau mengekori pecutan lawan sebelum melakukan ‘counter attack’.

“Berbeza dengan pecut, pelumba perlu berlumba ‘head to head’, ‘toe to toe’. Tidak ada elemen luar lain yang boleh digunakan untuk membantu pecutan atau pergerakan. Saya suka mengibaratkan pecut seperti tinju.

“Ya betul, kerana anda dengan lawan anda harus bergomol sesama sendiri menggunakan kudrat dan taktik yang anda ada.


AZIZUL ketika berlumba di Velodrom Nasional, Nilai tahun lalu. — FOTO Eizairi Shamsudin

“Cerita perlumbaan akhir semalam saya cuba ringkaskan sebanyak mungkin kerana terlalu panjang untuk dikongsikan. Mungkin kalau ada rezeki saya akan terbitkan buku satu hari nanti untuk cerita secara terperinci apa yang berlaku ketika setiap perlumbaan yang saya menangi.

“Saya percaya ramai yang tidak dapat bayangkan apa sebenarnya yang berlaku dan terlalu banyak cerita menarik yang boleh dikongsikan bersama.”

Kejayaan semalam adalah keenam baginya dalam acara pecut individu selepas 2008, 2009, 2014, 2017 dan 2019.

Selain itu dia meraih emas dalam keirin pada 2007, 2008 dan 2015 serta pecut berpasukan pada 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 10:58 AM