AFP

PENYERANG Juventus Cristiano Ronaldo memberikan undian percaya kepada jurulatih Maurizio Sarri, hari ini dengan mengatakan dia gembira dengan pendekatan serangan diamalkan kelab itu.

Sarri mengambil alih kelab itu selepas meninggalkan Chelsea pada musim panas lalu.

“Saya rasa pasukan ini semakin baik,” kata Ronaldo menjelang pertemuan Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) Kumpulan D menentang Lokomotiv Moscow, awal pagi esok.

“Kami semakin baik dan lebih yakin. Kami bermain bola sepak yang jauh berbeza sekarang iaitu lebih menyerang.

“Saya suka dengan cara (Sarri) mahu Juventus bermain. Kami mencipta lebih banyak peluang, kami memiliki keyakinan lebih tinggi dalam diri kami sendiri dan saya gembira dengan perubahan seperti itu.

“Mungkin kita boleh menjaringkan lebih banyak gol tetapi saya rasa lebih bangga dengan apa kami lakukan.”

Musim ini Ronaldo sudah menjaringkan lima gol dalam sembilan perlawanan dan meledak jaringan ketika Juventus mengatasi Bologna 2-1 untuk menduduki tangga teratas Serie A.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 12:01 AM