Talib mahu pemain lain ambil iktibar. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


KETUA jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad berharap insiden yang menimpa dua tekong emas, Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak akan menjadi pengajaran yang berguna kepada mereka.

Rayuan kedua-dua tekong berkenaan sudah dikurangkan kepada sembilan bulan oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada Ahad lalu selain diarahkan membantu pembangunan sepak takraw tanah air selama 45 jam.

"Apabila penggantungan mereka dikurangkan kepada sembilan bulan berbanding 24 bulan sebelum ini, mereka sudah boleh kembali aktif pada Mac tahun depan.

"Saya sebagai jurulatih akur apabila mereka tidak dapat digunakan untuk Sukan SEA nanti.

Bagi saya, apa yang berlaku ada hikmah disebaliknya dan berharap ia dijadikan pengajaran," katanya.

Jelas Abdul Talib, Syahir sudah memulakan "kerja amal" dalam membantu pembangunan sepak takraw negara dan difahamkan Zulkifli akan turut melakukannya dalam masa terdekat.

"Beberapa hari lalu, Syahir sudah bersama skuad negara memberikan motivasi selain menjadi rakan sepelatih.

Hari ini (semalam) dia turut bersama saya dalam sesi pemilihan pemain untuk Sekolah Sukan Bukit Jalil," tambahnya.

Bagaimanapun Abdul Talib mengakui, kedua-duanya tidak akan mendapat tempat automatik apabila bebas daripada penggantungan tahun depan.

"Mereka perlu bersaing dengan pemain lain dan mempamerkan persembahan yang baik. Ramai yang berebut untuk berada dalam skuad negara.

Namun saya percaya kerja amal yang diarahkan mampu memastikan "sentuhan" mereka tidak akan hilang selain dibenarkan bermain untuk majikan masing-masing," jelasnya.

Arena Metro melaporkan kedua-duanya digugurkan PSM atas alasan disiplin pada Jun lalu namun pemenang emas Sukan SEA 2015 dan 2017 serta Sukan Asia 2018 itu tampil menafikannya dengan memberi alasan ia berkaitan dengan elaun.

Mereka kemudiannya diberikan surat tunjuk sebab dan dijatuhkan penggantungan dua tahun yang berkuatkuasa 27 Jun selain dikehendaki membantu pembangunan sepak takraw tanah air selama 30 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 6:31 PM