Syed Saddiq anggap Azizulhasni prospek raih pingat Sukan Olimpik. FOTO NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


KEJAYAAN jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang memenangi emas acara pecut individu di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) Korea Selatan, hari ini menguatkan lagi ramalan untuknya memenangi pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Azizulhasni sememangnya seorang atlet yang luar biasa dan fokus di dalam kariernya.

"Dia sememangnya hero Malaysia dan salah satu prospek memenangi pingat di Sukan Olimpik.

"Dia berada di landasan yang betul.

Apabila saya berjumpa dengannya, dia sangat fokus dan pada masa sama mengerah keringat, usaha dan tenaga untuk memastikan dapat membanggakan seluruh rakyat Malaysia.

"Saya rasa dengan fokus sedia ada, dia mampu melakukan sesuatu di Olimpik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Persatuan Badminton Masters Malaysia (MMBA), hari ini.

MMBA adalah satu badan induk bagi pemain berusia 35 tahun ke atas menyertai mana-mana kejohanan badminton di peringkat antarabangsa.

Dalam aksi penentuan pingat emas yang berlangsung di Velodrom Pusat Latihan Kebangsaan Jingcheon semalam, Azizulhasni menewaskan pelumba Jepun Yuta Wakimoto 2-1.

The Pocketrocketman yang tewas pada pusingan pertama bangkit memenangi pusingan kedua untuk mengheret perlumbaan kepada pusingan penentuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 6:22 PM