Kenny mahu formula terbaik raih kejuaraan di sirkit antarabangsa. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


"TAK ok tetapi kena terima realiti."

Demikian pandangan Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh selepas melihat tiada kejuaraan utama dapat diraih pemain badan induk itu pada tahun ini.

Jelas Kenny, secara peribadi pihaknya sememangnya mahu melihat barisan pemain BAM memenangi kejuaraan utama di sirkit antarabangsa, tetapi ia masih gagal direalisasikan setakat ini.

"Sudah tentu kami mahukan pemain memenangi kejuaraan utama tetapi pada masa kami juga sedang di dalam proses penstrukturan semula.

"Tetapi saingan masih belum berakhir dan mana tahu mungkin ada peluang lagi untuk pemain kita memenanginya pada baki kejohanan sehingga hujung tahun ini," katanya pada majlis pelancaran Persatuan Badminton Masters Malaysia (MMBA), Putrajaya yang dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini.

Berhubung proses penstrukturan semula itu, Kenny berkata setiap pemain di dalam BAM sedar mereka kini sedang melalui proses penilaian sebelum badan induk itu membuat keputusan sama ada akan mengekalkan atau menggugurkan satu-satu pemain itu pada 31 Disember ini.

Ia sebagai langkah pertama untuk melaksanakan Projek 24 iaitu satu hala tuju baru BAM bagi memastikan Malaysia meraih emas di Sukan Olimpik Paris 2024 serta melayakkan diri ke final Piala Thomas 2024 dengan hanya yang terbaik saja kekal berada di dalam badan induk itu.

"Setiap pemain sedar mereka sedang dinilai ketika ini. Jadi saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi dan segala keputusan akan diketahui pada 31 Disember depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 6:09 PM