Pemain Langkap (baju biru) bergambar kenangan dengan pemain Permaisuri di Stadium Mini Tarom, Setiu. FOTO NSTP/Ihsan pasukan Langkap
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


PASUKAN veteran Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap Setiu terpaksa menunggu penentuan sepakan penalti sebelum merangkul kejuaraan Kejohanan Bola Sepak Veteran Piala Ahli Parlimen Setiu menewaskan pasukan Permaisuri di Stadium Mini Tarom, Setiu.

Pasukan Permaisuri yang diperkuatkan dengan kehadiran bekas penyerang kebangsaan dan negeri, Hairuddin Omar masih belum mampu membantu pasukannya yang tewas 2-4 menerusi penentuan penalti selepas kedudukan masa sebenar terikat 1-1, semalam.

Jaringan pembukaan oleh Hairuddin berjaya dipadam anak buah Suharmizi Hamzah yang mendapat sepakan penalti selepas bekas kapten Telekom Melaka, Rosli Hashim dikasari pertahanan lawan.

Junaidi Ahmad yang mengambil sepakan itu tidak mempersiakan peluang terhidang itu untuk mengikat kedudukan 1-1 hingga tamat perlawanan sebelum perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Sementara itu, Suharmizi berkata, semangat juang yang tinggi dan berpasukan yang dipamerkan anak buahnya selain tidak berputus asa menjadi elemen utama kejayaan pasukannya muncul juara.

"Walaupun ketinggalan hasil jaringan Hairuddin tetapi semangat melawan yang diperagakan pemain harus dipuji sebelum berjaya menyamakan kedudukan dan seterusnya menjulang trofi itu," ujar Suharmizi.

Dengan kemenangan itu, Langkap membawa pulang piala dan hadiah wang tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 8:51 PM