Pemain Mallorca, Lago Junior meraikan jaringan tunggal perlawanan berdepan Real Madrid. FOTO Reuters
Reuters

REKOD tanpa kalah permulaan musim La Liga buat Real Madrid dicemarkan Real Mallorca yang mencatat kemenangan 1-0 di Son Moix, awal pagi ini, sekali gus terkeluar dari zon penyingkiran.

Mallorca hanya berjaya menjaringkan enam gol dalam lapan perlawanan pembukaan pada musim pertama mereka kembali ke liga utama, namun hanya memerlukan satu gol untuk mengatasi pelawat mereka yang cukup terkenal.

Semuanya serba tidak menjadi buat pelawat, tuan rumah terlebih dahulu tampil menerusi gerakan mengejutkan Lago Junior dengan hanya satu sepakan lencong kaki kanan meletakkan namanya dalam senarai penjaring.

Kemenangan 5-0 Real Madrid ketika kunjungan kali terakhir mereka di kepulauan itu pada 2012, tanpa beberapa nama besar termasuk Luka Modric, Gareth Bale, Toni Kroos dan Eden Hazard, namun tidak banyak rungutan ketika gagal dalam perlawanan itu.

Kekalahan itu membuatkan peluang mereka untuk merampas kedudukan teratas daripada Barcelona yang mencatat kemenangan awal sebelum itu nampak terjejas. Selain harus bangkit semula dengan aksi penting Liga Juara-Juara berdepan Galatasaray pada awal pagi Rabu, selepas hanya memungut satu mata dalam dua perlawanan pembukaan.


Lago Junior (dua kiri) menjaringkan gol buat Mallorca. FOTO Reuters

Zidane enggan menggunakan alasan ketiadaan pemain utama sebagai punca utama kekalahan mereka.

“Pemain ini mengalami kecederaan, dan kami mempunyai pemain lain yang juga tidak kurang bagus. Tetapi mereka harus menunjukkan kemampuan setiap kali beraksi, mereka mempunyai tahap sepatutnya untuk bermain bersama Madrid. Hari ini kami tidak melakukannya,” katanya.

“Kami harus lebih konsisten jika kami mahu melakukan yang terbaik pada tahun ini, mempunyai kesungguhan yang lebih tinggi dalam permainan kami. Hari ini kami tidak mempunyai perkara itu.

“Permulaan aksi kami agak buruk. Pada separuh masa kedua kami tidak menyempurnakan beberapa peluang terbaik, kami kekurangan banyak perkara hari ini.”

Ia detik yang bersejarah dan diraikan penyokong kelab itu dengan barisan kendalian Vicente Moreno yang tampil bersemangat dibarisi pemain muda untuk menewaskan Real buat pertama kali sejak 2006.

Mallorca mencatat kemenangan ketiga liga sejak kembali ke liga utama selepas enam tahun tersisih. Mereka melangkau ke kedudukan ke 14 carta dengan 10 mata sementara Real di tempat kedua, satu mata di belakang Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 9:10 AM