ANDY Murray. FOTO AFP
AFP

BEKAS pemain nombor satu dunia Andy Murray mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak Terbuka Perancis 2017 selepas mengharungi pertarungan tiga set ke atas pemain Romania Marius Copil pada Kejohanan Eropah di Antwerp awal pagi tadi.

Pemain Britain berusia 32 tahun, beransur-ansur membangunkan kembali kariernya selepas pembedahan pinggul awal tahun ini, menewaskan pemain kelayakan Copil 6-3, 6-7 (7/9), 6-4.

“Saya rasa OK. Ia lebih kepada bagaimana anda meneruskannya pada hari berikutnya,” kata Murray yang memerlukan dua kemenangan untuk menjulang gelaran pertama sejak kali terakhir menjuarainya di Dubai pada Mac 2017.

Murray yang ketika ini menduduki ranking ke-243 dunia, mempunyai peluang untuk menamatkan aksi suku akhir apabila mencatat mata perlawanan pada tiebreak set kedua.

Dia berjaya melakar kemenangan selepas beraksi lebih daripada dua jam setengah di gelanggang dengan ace untuk kemenangan ketiga dalam tiga pertemuan dengan Copil di ranking ke-92.

Murray akan menentang sama ada pilihan kelima dari Argentina Guido Pella atau Ugo Humbert dari Perancis untuk tiket ke perlawanan akhir esok.

“Apa yang baik mengenai perlawanan dalam dewan adalah mata diperolehi biasanya pendek jadi ia tidak meletihkan anda berbanding gelanggang di luar yang memperlahankan gerakan anda.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 11:00 AM