PENJUALAN tiket palsu untuk perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia, Kedah menentang Pahang. FOTO IHSAN Media KFA
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) akan memperketatkan pemeriksaan di semua pintu masuk Stadium Darul Aman selepas pihaknya mengesan satu sindiket penjualan tiket palsu untuk perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia, Kedah menentang Pahang di Stadium Darul Aman, malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Masuk KFA Jusri Anuar Jamarudin mengesahkan satu laporan polis dibuat semalam sebaik pihak KFA mengesan sidiket berkenaan yang beroperasi pada hari penjualan tiket di Stadium Darul Aman.

Menerusi maklumat yang dikeluarkan KFA semalam, pihak KFA mengesyaki wujudnya sindiket penjualan tiket palsu berdasarkan beberapa ciri yang berlainan yang ada pada tiket palsu berbanding tiket asli yang dikeluarkan oleh Tickethotline.

Tiket palsu yang dikesan semalam adalah tiket kawasan terbuka yang berharga RM15 di mana tiket kawasan berkenaan sudah habis dijual sejak tengah hari semalam.

"Perbezaan antara dua tiket ini adalah seperti nombor siri, kualiti kertas, kualiti cetakan, ciri-ciri keselamatan hologram, dan ciri-ciri terlindung yang hanya boleh diamati melalui penelitian rapi,” menurut kenyataan KFA.

"Tiga ciri utama tiket asli adalah terdapat logo Liga Bolasepak Malaysia (MFL) di bahagian belakang tiket, cetakan di atas tiket yang berkualiti dengan cetakan karbon dan logo yang digunakan juga logo terkini berbanding tiket palsu yang masih menggunakan logo unifi untuk Liga Super dan Piala Malaysia.

"Warna tiket asli kelihatan lebih putih berbanding tiket palsu yang agak kebiru-biruan dengan saiz nombor siri juga kelihatan berbeza. Selain itu logo MFL dapat dilihat pada bahgaian belakang tiket asli berbanding tiket palsu yang tidak memaparkan logo berkenaan.

"Media KFA juga memaklumkan pihaknya mengesyaki sindiket ini adalah dari pihak yang sama yang pernah melakukan kerja penipuan di venue perlawanan lain sebelum ini.

"Individu yang disyaki dan disiasat ini melarikan diri selepas disyaki menjual tiket palsu dan gagal ditangkap selepas melarikan diri dari kawalan pihak petugas keselamatan."

Sebagai langkah kawalan dan keselamatan, pihak KFA menyeru penyokong untuk memastikan tiket yang mereka perolehi adalah asli berdasarkan ciri-ciri yang dinyatakan sebelum melangkah masuk ke stadium malam ini.

"Pihak KFA berhak menghalang mana-mana penyokong untuk masuk ke stadium jika didapati memiliki tiket palsu dan jika anda memiliki tiket palsu sila buat laporan polis bagi membanteras sindiket penipuan ini."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 10:10 AM