Rodriguez mahu hadiah gol buat Kedah di tempat sendiri. FOTO NSTP
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my


PELEDAK utama Kedah Fernando Rodriguez tidak mahu terlepas peluang menghadiahkan gol pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, esok.

Meledak 18 gol secara keseluruhan untuk Lang Merah setakat ini membuatkan pemain dari Sepanyol berusia 32 tahun itu menjadi tumpuan penyokong.

"Saya mahu menghasilkan gol pada peringkat penting seperti ini kerana kita memerlukan bekalan selesa untuk dibawa ke perlawanan di Kuantan nanti.

"Beraksi dilaman sendiri dan ribu penyokong setia memang menjadi impian setiap penyerang yang pasti membangkitkan semangat juang saya memburu gol.

"Dalam masa yang sama saya harus tenang dan sentiasa fokus dalam kerjasama dengan rakan sepasukan dalam usaha mencari peluang terbaik untuk menghasilkan gol.

Berdepan Pahang memiliki pertahanan kental, bekas pemain kelab Mitra Kukar itu mengakui berdepan tugas yang sukar merobek benteng lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 4:40 PM