Amirudin (dua dari kiri) bersama peserta MFLS. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh
bhnews@bh.com.my


MENTERI Besar, Amirudin Shari berharap pasukan bola sepak Selangor layak ke final Piala Malaysia selepas kali terakhir berada di pentas itu pada 2016.

Katanya, ketika itu beliau masih pengurus pasukan Gergasi Merah itu.

"Saya harap kita layak ke final. Walaupun misi sukar dan kelihatan mustahil tetapi tiada yang mustahil dalam bola sepak.

"Saya percaya, pasukan kita boleh buat kejutan di Johor esok dan meneruskan cabaran di Shah Alam pada 26 Oktober nanti," katanya pada lawatan kerja sempena pelaksanaan Malaysia Future Leaders Schools (MFLS) di Kem Wawasan Negara Meru, hari ini.

Amirudin berkata, beliau tidak meletakkan ramalan kerana tidak mahu memberi tekanan kepada pemain skuad itu.

Bagaimanapun beliau mengharapkan agar pasukan memberikan yang terbaik pada perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Paling kurang kita perlu seri dan jika tewas sekalipun hanya tipis kerana saya tahu bukan mudah hendak kalahkan pasukan JDT.

Bagaimanapun, saya percaya ada sesuatu dirancang oleh jurulatih dan pasukan," katanya.

Juara Piala Malaysia 33 kali itu melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Perak pada aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam, pada 29 September lalu.

Pasukan The Red Giants itu akan menentang JDT pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Dalam perkembangan lain, seramai 134 pelajar sekolah menengah menyertai program MFLS peringkat Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 3:56 PM