Sebahagian pemain Terengganu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Amanat, Chittagong. FOTO NSTP/IHSAN PEMAIN TFC
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


SELEPAS gagal ke final Piala Malaysia seperti musim lalu, pasukan Terengganu FC (TFC) membuat persiapan awal dengan mengasah 'taji' di Bangladesh.

Naib juara Piala Malaysia yang mendapat ketua jurulatih baharu, Nafuzi Zain sudah berada di bandar Chittagong sejak semalam bagi menyertai kejohanan jemputan Bangladesh bermula esok hingga 30 Oktober ini.

Skuad Penyu bersama bekas pemain negeri, Subri Sulong sebagai penolong jurulatih akan memulakan aksi bertemu wakil India, Chennai City disusuli Dhaka Abahani dan berakhir menentang pasukan Bashundhara Kings yang juga juara Liga Bangladesh.

TFC membawa 21 pemain termasuk beberapa muka baharu daripada skuad juara Piala Belia serta pemain skuad Piala Presiden untuk pendedahan sebelum diserap ke dalam pasukan utama.

Pemain import selaku kapten, Lee Tuck pernah beraksi bersama kelab Dhaka Abahani turut sama selain Sanjar Shaakhmedov, Serhii Andrieiev dan Dechi Marcel turut menyertainya.

Pemain lain turut bersama pasukan adalah penjaga gol, Muhamad Ilham Amirullah Razali, Shafawi Mohamad, Nik Muhammad Amin Ahmad, Shukur Jusoh, Mohd Kamal Azizi Mohd Zabri, Muhamad Mohd Fauzi, Rahmat Makasuf, Muhammad Aqil Irfanuddin Mohd Sabri, Azalinullah Alias dan Zuasyraf Zulkiefle.

Skuad Nafuzi terkandas di suku akhir tewas kepada juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan agregat 5-1.

Dalam pentas Liga Super skuad Penyu berada di tangga ketujuh mengutip 30 mata daripada 22 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 3:42 PM