Arif (kiri) dan Aiman lega selepas mendapat tiket untuk perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia. FOTO NSTP/SHAHRIZAL MD NOOR
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my


DUA remaja penyokong Kedah terpaksa menggunakan duit tabung dan 'meredah ombak' demi mendapatkan tiket perlawanan Kedah menentang Pahang pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, esok.

Anak muda dari Pulau Langkawi Abdul Arif Imran dan Mohd Aiman Ariff Ya, masing-masing berusia 15 tahun mahu memastikan berada dalam kalangan ribuan penyokong memberi sokongan kepada skuad Lang Merah.

Menurut Abdul Arif, beliau dan rakan tidak menjangka jualan tiket dalam talian ditawarkan minggu lalu habis dijual begitu cepat yang menyebabkan mereka mengambil keputusan bertolak ke Alor Setar pagi semalam.

"Memamg terkejut dan kecewa mendapati tiket dalam talian habis terjual namum kami tidak mahu berputus asa dan mengambil keputusan datang ke kaunter Stadium Darul Aman.

"Kami terpaksa menggunakan wang tabung simpanan demi memastikan kami tidak terlepas aksi pemain Kedah di depan mata kami sendiri.

"Abdul Arif dan Mohd Aiman menjadikan Baddrol Bakhtiar dan Renan Alves sebagai idola berkata mereka meluangkan masa menunggu hampir 12 jam membuat keputusan 'bermalam' di perkarangan stadium.

"Ini pengalaman pertama berada dalam barisan awal di kaunter tiket sejak pukul 10 malam semalam kerana tiada tujuan ke tempat lain.

Kami teruja kerana terdapat beberapa penyokong Kedah yang lain seperti Kelab Penyokong Puaka Jerai turut berada di stadium beratur awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 3:29 PM