Unai Emery (kanan) dan Mesut Ozil ketika sesi latihan pasukan. FOTO Reuters
Agensi

BOSS Arsenal, Unai Emery gembira dengan peningkatan yang ditunjukkan Mesut Ozil pada sesi latihan ketika perancang tengah berdepan dilema masa depannya di Stadium Emirates.

Ozil hanya bermain dua perlawanan dalam semua kejohanan musim ini, malah pemain itu mengakui dalam satu temubual khas bersama The Athletic yang dia tidak akan meninggalkan Arsenal sebelum kontraknya tamat pada 2021.

Emery juga membuat kenyataan terbuka untuk memberi peluang sekali lagi kepada Ozil, mendedahkan aksi terhad pemain itu pada musim ini menjelang kunjungan ke Sheffield United dalam saingan Liga Perdana, awal pagi Selasa ini.

Kejadian percubaan rompakan bersenjata di London yang mensasarkan Ozil dan rakan sepasukan di Arsenal, Sead Kolasinac dikatakan turut mengganggu tumpuan pemain Jerman itu.

Emery sebelum ini berkata Ozil tidak menjalani latihan secukupnya untuk membenarkannya beraksi lebih kerap dalam bola sepak tetapi dia berbangga dengan maklum balas yang ditunjukkan pemain itu sejak kebelakangan ini.


Pengurus Arsenal, Unai Emery. FOTO Reuters

“Bersama Mesut, tahun permulaan yang sukar buatnya,” kata Emery. “Ketika pra musim, dia bersungguh-sungguh dan beraksi dalam perlawanan.

“Tetapi masalahnya bersama Sead menyekat kemahuannya dan kemudian, selepas masalah itu dia berdepan pula masalah kesihatan sehingga seminggu. Dia banyak terlepas sesi latihan dan perlu memulihkan tahap kecergasan.

“Dalam tempoh dua atau tiga minggu, dia menunjukkan peningkatan dalam latihan. Ia sangat bagus. Saya akan melihat perkembangannya untuk diturunkan dalam perlawanan. Jika dia ok, sudah bersedia, boleh berlatih, sudah pasti ia memberikan kami perasaan lega setiap hari dalam latihan, jadi tidak mustahil dia boleh bermain.

“Cadangan saya adalah menggunakan semua pemain dan dia salah seorang dalam pasukan yang boleh membantu kami. Dia mempunyai kemahiran tinggi dan permainan berkualiti yang kami perlukan dalam perlawanan akan datang.

“Saya sangat gembira dengan peningkatan yang ditunjukkannya, bagaimana dia menjalani latihan setiap hari. Dia antara pemain penting dalam pasukan.

“(Sebelum ini) dalam saat ini, mungkin secara fizikal, mungkin dengan lebih rentak, mungkin bergantung kepada setiap perlawanan, ada beberapa pemain lain di depannya. Sekarang, saya berasa lega buat dirinya.”

Kieran Tierney dijangka bersedia beraksi di Bramall Lane, sementara Alexandre Lacazette kembali menjalani latihan penuh, dengan Emery menolak kemungkinan menggunakan khidmat penyerang Perancis itu dalam kesebelasan utama.

“Hari ini adalah sesi pertamanya bersama kami dan dia bertambah baik,” kata Emery, mengulas perkembangan tahap kecergasan Lacazette.

“Ia bergantung bagaimana keadaannya esok sama ada dia dapat beraksi nanti malah ia menampakkan perkembangan positif. Saya belum tahu jika dia akan beraksi 90 minit atau bermula di bangku simpanan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 11:39 PM