Maizatulhanim (kiri), Nuramirah (tiga dari kiri) dan Juliani (tiga dari kanan) bersama rakan sepasukan di Bremer HC.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


PENYERANG skuad hoki wanita negara, Nuramirah Syakirah Zulkifli menjadi tonggak penting Bremer HC pada musim pertama Bundesliga 2 Jerman.

Nuramirah Syakirah menyumbang 12 daripada 29 gol kelab itu selepas berakhir musim pertama liga sekali gus mendahului senarai penjaring Bundesliga 2.

Aksi yang dipamerkan pemain wanita itu mendapat pujian ketua jurulatih Bremer HC, Martin Schultz yang nyata berpuas hati dengan prestasi Nuramirah serta dua lagi pemain negara, Maizatulhanim Syafi Sheikh Fuad dan Juliani Mohamad Din.

"Selain Nuramirah, Syafi juga menjaringkan empat gol. Jadi setakat ini 60 peratus gol kelab disumbangkan oleh kedua-dua pemain ini.

"Keistimewaan Nuramirah ialah dia cukup tajam di dalam kawasan D dan ia memberi potensi besar untuk menjaringkan gol.

"Juliani pula beraksi dengan baik di barisan pertahanan," katanya ketika dihubungi.

Menurut Schultz, ketiga-tiga pemain itu akan dikekalkan pada musim kedua liga yang akan bersambung Februari tahun depan.

Ketiga-tiga pemain itu sudah pulang ke Malaysia dengan Julaini dipanggil menyertai kem latihan skuad dalam dewan negara untuk pemilihan ke temasya Sukan SEA Filipina November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 9:03 PM