Ole Gunnar Solskjaer. FOTO AFP
Reuters

PENGURUS Manchester United Ole Gunnar Solskjaer berkata, kelab itu akan cuba menandatangani satu atau dua pemain pada tempoh jendela perpindahan pemain pada Januari ini.

Ia bagi memastikan United dapat memperbaiki peluang mereka bagi penamat dalam kelompok empat teratas liga.

Namun jelas Solskjaer, mereka tidak akan berbelanja besar bagi yuran perpindahan termasuk pembayaran gaji pemain.

United berada di kedudukan ke-12 dalam carta Liga Perdana menjelang pertembungan di gelanggang sendiri berdepan pendahulu liga Liverpool pada Ahad selepas permulaan buruk musim ini yang turut terganggu dengan kecederaan membabitkan pemain utama.

Solskjaer merelakan pemergian penyerang Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez pada awal musim tanpa membentuk barisan serangan United dan pengendali dari Norway itu tanpa khidmat penjaga gol, David De Gea dan perancang tengah, Paul Pogba yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

“Kami akan melihat untuk melakukan tandatangan satu atau dua pemain baru. Kami sedang memburu satu atau dua pemain yang diperlukan,” kata Solskjaer.

“Jika pemain yang tepat boleh digunakan pada Januari mungkin kami akan melakukan sesuatu. Jika tidak, semua pemain yang ada akan memberikan segalanya untuk (sasaran kedudukan penamat empat pasukan teratas).

“Saya tidak akan melakukan pendekatan membawa masuk pemain dengan kontrak mewah dan yuran perpindahan yang tinggi jika pemain itu bukan menjadi pilihan buat pasukan dan persediaan masa depan.

“Wang ada di sana untuk menguatkan pasukan pada Januari dan musim panas ini.”

United mencuri tumpuan pada perlawanan awal musim ini dengan kemenangan 4-0 ke atas Chelsea namun menjaringkan lima gol dalam tujuh perlawanan liga sejak itu dan Solskjaer berkata kecederaan penyerang Anthony Martial yang tidak beraksi sejak Ogos antara faktor pasukan berkenaan terpaksa bergelut.

“Banyak sebab, tetapi salah satu daripadanya adalah kecederaan yang dialami Anthony,” kata bekas pemain United berusia 46 tahun itu.

“Mencipta peluang adalah cabaran besar buat kami dan turut dipengaruhi dengan prestasi pasukan. Namun kami bekerja keras dalam latihan setiap minggu. Kecergasan adalah faktor utama, saya akan memastikan Marcus dan Anthony akan berusaha menemui jaringan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 7:09 PM