Pemain Negeri Sembilan menghalang pemain Kedah (tengah) pada aksi Piala Malaysia, baru-baru ini. FOTO File NSTP
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


NEGERI Sembilan tidak akan membuat perubahan besar dari segi barisan pemain apabila berhasrat mengekalkan 90 peratus pemain musim ini untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Malah, empat pemain import yang menganggotai skuad Hobin Jang Hobin iaitu tiga pemain dari Brazil, Almir Neto, Matheus Vila dan Igor Luiz selain Shunsuke Nakatake dari Jepun, dijangka akan kekal bersama pasukan itu.

Pengurus pasukan, Mohd Khairollah Abdul Latif berkata, pihaknya tidak mahu merombak keseluruhan pasukan, untuk memastikan persefahaman pemain dapat terus kekal bagi mengharungi musim depan.

“Kita sudah ada gambaran dari segi barisan pemain dalam usaha membentuk pasukan terbaik bagi menghadapi musim depan.

"Namun, kita tidak bercadang untuk merombak secara besar-besaran, sebaliknya mengekalkan hampir 90 peratus pemain musim ini dan menyingkirkan hanya antara lima atau enam pemain sahaja.

"Keempat-empat pemain import juga dicadangkan untuk terus dikekalkan. Namun keputusan muktamad mengenai barisan pemain hanya akan ditentukan dalam mesyuarat pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), yang akan diadakan dalam tempoh terdekat," katanya hari ini.


Barisan pemain pasukan Negeri Sembilan ketika beraksi dalam saingan Liga Perdana 2019. FOTO File NSTP

Mengulas lanjut, Mohd Khairollah berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemain dari pasukan Liga Perdana untuk mendapatkan khidmat mereka musim depan, namun enggan mendedahkan nama pemain terbabit.

Mengenai cadangan mengekalkan pemain import itu, beliau berkata pihaknya mendapati sumbangan diberikan mereka amat positif terutama ketika bersaing dengan pasukan dari Liga Super pada kempen Piala Malaysia.

"Walaupun mereka gagal membantu pasukan melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia, namun pemain import terbabit dilihat mampu memberikan sumbangan lebih baik musim depan," katanya.

Mengenai kedudukan Zaki Sheikh Ahmad sama ada kekal selaku jurulatih atau dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih, Mohd Khairollah berkata, perkara itu juga belum diputuskan lagi.

"Pengurusan tertinggi PBNS akan buat keputusan mengenainya (ketua jurulatih) dalam mesyuarat tidak lama lagi," katanya.

Untuk rekod, Negeri Sembilan yang pada awal musim ini dibimbing ketua jurulatih Mat Zan Mat Aris sebelum jawatan itu diambil alih Zaki pada pertengahan Julai lalu, menamatkan saingan musim ini dengan menduduki tangga keenam carta Liga Perdana dan tersekat di peringkat Kumpulan A Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 6:29 PM