Pemain Kedah menjalani latihan menjelang aksi separuh akhir Piala Malaysia menentang Pahang di Stadium Darul Aman, Sabtu ini. FOTO Sharul Hafiz Zam
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) akan membuka kaunter jualan tiket untuk aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Kedah menentang Pahang di Stadium Darul Aman, Alor Setar, bermula jam 10.30 pagi esok.

Jawatankuasa Tiket dan Pintu KFA sudah memaklumkan melalui laman rasmi KFA sebelum ini berkaitan tarikh penjualan tiket perlawanan sehari sebelum perlawanan berlangsung.

Menerusi maklumat sebelum ini juga, sejumlah 6,000 tiket (termasuk 2,000 tiket beli 1 percuma 1 melalui jualan dalam talian Shopee yang dijual sejak minggu lepas telah habis dijual.

"Kesemua 22,000 tiket yang diperuntukkan akan habis dijual menjelang hari perlawanan dengan jangkaan penyokong akan menyerbu kaunter jualan tiket esok.

“KFA juga mengumumkan hanya dua sesi jualan tiket di kaunter bermula dengan sesi pertama jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan bersambung pada sesi kedua jam 3 hingga 7 petang pada hari yang sama.

Bagi penebusan tiket yang dibeli melalui dalam talian, pembeli boleh menebus tiket bermula hari Jumaat dan Sabtu bermula jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

KFA menghadkan tiga keping tiket untuk setiap pembelian dan menyediakan empat kaunter iaitu A, B, E dan F dengan tiga laluan disediakan termasuk satu laluan khas untuk wanita di kaunter F, manakala satu lagi kaunter iaitu kaunter D disediakan untuk penebusan tiket online (Shopee) dan kuota Kad Keahlian dan Tiket / Pas Bermusim.

KFA juga memaklumkan memberi peruntukan kuota 1,000 keping tiket maksimum untuk penyokong Pahang yang berkunjung ke Stadium Darul Aman.

Peruntukan berkenaan berdasarkan perbincangan kedua-dua pihak dan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) juga bersetuju menyerahkan jumlah sama kepada penyokong Kedah yang bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 26 Oktober nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 6:00 PM