Firdaus (kiri) dapat tempat dalam skuad Oltmans. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


KETUA jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans mengambil keputusan berani apabila memilih penyerang muda negara, Muhammad Noor Firdaus Rosdi dalam senarai 18 pemain terbaik ke aksi play off kelayakan Sukan Olimpik di London awal bulan depan.

Pemilihan itu satu lagi pencapaian membanggakan untuk pemain berusia 19 tahun itu yang menjadi sebahagian tonggak penting ketika Malaysia memenangi pingat emas Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina tahun lalu.

Oltmans bagaimanapun berkata, di sebalik senarai 18 pemain yang diumumkannya itu termasuk Firdaus, beliau masih kekal membawa 20 pemain untuk London.

Dua daripada senarai 20 pemain yang tetap di bawa untuk siri perlawanan persahabatan di Belanda sebelum terus London ialah pertahanan, Muhammad Najib Abu Hassan serta pemain tengah, Mohd Ashran Hamsani.

"Kedua-dua pemain itu tetap akan dibawa bagi berdepan sebarang kemungkinan seperti kecederaan.

"Sebab senarai pemain boleh diubah pada saat akhir sebelum berlangsungnya perlawanan pertama," katanya pada sidang media semalam.

Oltmans berkata, Malaysian Tigers akan mengadakan perlawanan persahabatan bersama kelab Belanda, HOC Gazellen Combinatie serta HC Bloemendaal sebelum terbang ke London.

Skuad negara akan bertemu Britain pada dua aksi timbal balik pada 2 dan 3 November depan untuk satu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 5:29 PM