Wirdati tidak mahu PJS diheret dalam sebarang pertikaian. FOTO NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


WUJUD salah tanggapan dalam industri sukan apabila Pesuruhjaya Sukan (PJS) dianggap penyelesai mutlak kepada masalah atau isu dihadapi persatuan di negara ini.

Hakikatnya Dr Wirdati Mohd Radzi selaku PJS berkata, pihaknya tiada kuasa untuk mendengar mahupun campur tangan dan hanya memberi khidmat berkaitan pergolakan dalaman persatuan sukan.

Tegas beliau, berdasarkan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) iaitu Seksyen 11, kuasa PJS terhad mendaftar, membatal atau menggantung pendaftaran sesebuah persatuan sukan, justeru pihaknya berhati-hati dalam memberi kenyataan bagi mengelak implikasi undang-undang.

"Kita boleh bantu tapi tidak boleh campur tangan dengan memihak mana-mana pihak. Ini paling mustahak.

"PJS bukan penyelesai masalah. Kita tidak mahu diheret dalam sebarang pertikaian kerana tidak boleh sama sekali memihak sesiapa.

(Malah) bagi persatuan kebangsaan, ia dilihat sebagai campur tangan kerajaan dalam persatuan," katanya memulakan tugas pada 1 Oktober lalu ketika ditemui di pejabatnya.

Wirdati diminta mengulas kemelut Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang tertangguh sejak 29 Jun lalu.

Katanya, beliau yakin isu itu boleh diselesaikan dan pihak MPM sedang melakukannya mengikut peruntukan perundangan.

"Perlembagaan persatuan adalah satu bentuk peruntukan perundangan yang mengikat mereka.

Jadi MPM sedang menyelesaikan segala masalah mengunakan fasal-fasal dalam perlembagaan mereka untuk menerangkan proses dan status mereka.

"Pihak terbabit juga menggunakan fasal perundangan daripada perlembagaan sama. Bukan senyap (tiada penyelesaian)," katanya.

Mengulas lanjut, katanya sudah meneliti fail MPM namun tidak boleh memberi ulasan lanjut kerana boleh mengganggu proses penyelesaian.

"Berdasarkan status persoalan itu, ia dalam proses penyelesaian pelbagai peringkat, terutama di peringkat guaman.

"Kami berpendapat untuk membantu kelancaran proses guaman tadi, PJS tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan pada masa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 5:14 PM