Fuad mahu manfaat pengalaman berlatih di luar negara. FOTO fail NSTP
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


PETINJU negara, Muhamad Fuad Mohd Redzuan mahu memanfaatkan latihan di Kazakhstan bermula Sabtu ini, sebagai persiapan akhir menjelang cabaran di Sukan SEA Filipina 2019 yang membuka tirai hujung November ini.

Petinju berasal dari Negeri Sembilan itu yang juga pemenang pingat emas bagi kategori lightfly 49 kilogram pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur kini dalam misi mempertahankan pingat itu pada temasya berkenaan tahun ini.

"Peluang menjalani latihan selama sebulan di Kazakhstan akan digunakan dengan sebaik mungkin bagi mendapatkan tahap persiapan terbaik sebelum ke Sukan SEA tahun ini.

"Selain latihan, saya juga dijangka akan diuji dalam satu kejohanan tinju pada hujung bulan ini.

"Saya berharap dapat mempelbagaikan corak latihan dan beroleh rakan sepelatih berpengalaman ketika latihan di Kazakhstan itu nanti bagi membentuk taktikal terbaik.

Ia sangat penting dalam membantu saya meningkatkan prestasi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fuad bersama empat petinju negara yang lain dijangka akan menjalani latihan di Kazakhstan sehingga 17 November ini.

"Setakat ini persiapan mungkin mencapai tahap sekitar 80 peratus dan perlu bekerja lebih keras bagi meningkatkan prestasi.

"Tambah pula, peluang kali ini juga sukar dijangka kerana ia akan bergantung kepada undian selain ada pencabar muda yang ditampilkan pasukan lawan.

"Sebolehnya di peringkat awal, saya tidak mahu bertemu petinju dari Thailand dan Filipina.

"Saya berharap impian mempertahankan pingat emas tidak tersasar," katanya mengekalkan kejuaraan lapan tahun berturut-turut kategori 49 kilogram pada aksi pemanas badan pada Kejohanan Tinju Piala Malaysia 2019 di Pusat Sukan Paroi, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 4:47 PM