Aidil anggap pertemuan menentang Selangor bagai final. FOTO NSTP
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my


PEMAIN pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak tidak menganggap pertembungan Selangor adalah aksi separuh akhir sebaliknya ia merupakan ‘final' yang harus diharungi dalam perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, Sabtu ini.

Bagi pemain pertahanan kebangsaaan itu, setiap perlawanan yang diharungi adalah aksi final kerana ia akan memberi lebih motivasi kepada dirinya dan rakan sepasukan untuk memperaga permainan yang lebih mantap.

Katanya, selepas menewaskan Terengganu 5-1 secara agregat pada aksi suku akhir dan layak ke separuh akhir piala berprestij, laluan skuad Harimau Selatan tetap berliku memandang saingan Piala Malaysia berbeza berbandin saingan Liga Super.

"Alhamdullilah, kita dah melayakkan diri ke peringkat seterusnya tapi saya tidak menganggap ia perlawanan separuh akhir, sebaliknya setiap aksi yang kami harungi adalah final.

"Ia perlawanan `final' dan semestinya kami mahu beri yang terbaik tatkala beraksi di laman sendiri kerana mahu cari bekalan yang selesa untuk di bawa ke Shah Alam pada aksi kedua nanti.

"Kita akan menentang Selangor yang merupakan sebuah pasukan berpengalaman dalam kancah Piala Malaysia. Bagaimanapun keutamaan adalah kepada diri saya dan pasukan untuk membuat persiapan yang cukup rapi.

Apapun, Aidil Zafuan menyerahkan kepada perancangan taktikal yang akan dibentuk Luciano Figueroa dan Benjamin Mora sama ada diturunkan dalam kesebelasan utama untuk berdepan skuad The Red Giants dan memahami kehendak mereka ketika beraksi di padang.

Katanya, persiapan tampak berjalan lancar dan sokongan padu daripada pemain ke-12 amat penting bagi menyeamarakkan lagi perjuangan skuad Harimau Selatan mengharungi 90 minit perlawanan nanti.

"Kita akan beri persembahan terbaik dan lebih penting cuba mengelak daripada melakukan kesilapan mudah kerana Selangor bijak untuk mengambil kesempatan jika buat silap," kata Aidil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 3:45 PM