Kisona mahu cabar diri sendiri. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my


ADA yang memandang perseorangan wanita, S Kisona sebagai pemain 'kelas kedua' berbanding rakan-rakan lain, namun Sukan SEA Filipina 2019 adalah peluang terbaiknya untuk mengubah stigma berkenaan.

Menurut pemain berusia 21 tahun itu, temasya dwi tahunan itu adalah pentas terbaik buatnya untuk memecahkan kebuntuan seterusnya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam kalangan bintang Asia Tenggara.

"Ya ia memang satu peluang terbaik saya untuk meloloskan diri dan merangkul kejayaan di peringkat senior jika saya dapat memenangi pingat di Sukan SEA. Saya harap mampu melakukannya," katanya ketika ditemui Arena Metro.

Pemain kelahiran Negeri Sembilan itu akan memikirkan mengenai pencapaian dan permainannya terlebih dulu sebelum memandang lebih jauh termasuk mempertahankan emas yang diraih Goh Jin Wei dua tahun lalu.

"Memang Jin Wei berjaya meraih emas dan saya perlu melihat keadaan saya terlebih dulu untuk memikirkan soal mempertahankan pingat berkenaan.

Mungkin saya mampu mencapainya dengan syarat terus berjuang tanpa memikirkan perkara lain.

"Selain itu sebelum ke Filipina saya juga mahu mencabar diri saya di kejohanan lebih tinggi iaitu di Cabaran Antarabangsa Malaysia di Perlis kerana sebelum itu saya sudah merangkul kejuaraan bertaraf Siri Antarabangsa (IS)," katanya.

Kisona juga mengakui dia tidak berasa tertekan walaupun diberi peluang menggantikan tempat Jin Wei yang baru saja menjalani pembedahan.

"Saya hanya perlu mempersiapkan diri sebaik mungkin dan paling penting adalah dari segi mental.

Memang perseorangan wanita sekarang ini berdepan masalah kurang keyakinan tapi saya bersedia memberikan yang terbaik di Sukan SEA.

"Kita pun tidak sangka Jin Wei ada masalah kesihatan dan namun jurulatih mempercayai saya kerana banyak beraksi di peringkat antarabangsa.

Saya tidak berasa merendah diri jika ada yang membandingkan saya dengan Jin Wei kerana saya pun sudah bersedia," katanya.

Setakat ini Kisona sudah meraih dua gelaran bertaraf IS iaitu di Terbuka Hellas dan IS Sydney.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 3:07 PM