PEMAIN bola sepak Korea Selatan dan Korea Utara bersalaman.
AFP

PEMAIN bola sepak Korea Selatan tidak tahu bagaimana aksi kelayakan Piala Dunia di Pyongyang boleh diadakan di stadium kosong - perlawanan yang dianggap bintang Tottenham Hotspur Son Heung-min sebagai ‘sangat agresif’ dan seorang pegawai menyifatkannya seperti perang.

Perlawanan menentang Korea Utara Selasa lalu berakhir seri tanpa jaringan, dengan Presiden FIFA Gianni Infantino adalah antara sejumlah kecil penonton dalam perlawanan yang dihalang daripada tontonan dunia luar.

Ia perlawanan pertama yang kompetitif membabitkan kedua-dua pasukan yang diadakan di Korea Utara - perlawanan bersejarah di antara kedua-dua negara yang secara teknikalnya masih berperang - tetapi berlangsung tanpa siaran langsung serta media luar negara.

Perkara itu mencetus kebimbangan terhadap kerjasama di antara kedua-dua negara dalam bidang sukan.

Sehinggalah pada minit terakhir pasukan Korea Selatan tidak tahu jika tiada seorang pun penyokong Korea Utara menyaksikannya.

“Kami menjangkakan 50,000 orang datang sebaik pintu dibuka tetapi mereka tidak datang,” katan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Korea Choi Young-il ketika pasukan itu tiba di lapangan terbang Incheon awal pagi tadi.

“Pintu pagar tidak pernah dibuka. Saya benar-benar terkejut. Pemain dan jurulatih juga terkejut.”

Choi berkata beliau bertanya kepada pegawai Korea Utara mengenai ketiadaan penyokong tempatan yang kemudiannya menjawab: “Mungkin mereka tidak mahu melihatnya.

Pemain Tottenham Son, yang menjadi kapten Korea Selatan, tersinggung dengan taktik kasar pemain Korea Utara.

“Perlawanan begitu agresif hingga ke tahap di mana saya fikir ia satu pencapaian besar jika pulang dengan selamat tanpa cedera.

“Banyak kedengaran suara menyumpah seranah.”

Choi menambah beliau tidak pernah melihat permainan agresif seperti itu sebelum ini: “Ia bagaikan perang.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 1:43 PM