FARHAN Roslan (kanan) diasak pemain PKNS FC, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim pada perlawanan Piala Malaysia, di Stadium Darul Aman.
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my


PEMAIN sayap lincah Farhan Roslan tidak sesekali akan terganggu dengan strategi Pahang yang mahu merantainya pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia Sabtu ini.

Malah pemain berpengalaman berusia 22 tahun ini mengakui sudah ‘masak’ dengan percaturan pihak lawan yang setiap kali akan mengunci pergerakan pemain sayap yang menjadi posisinya bersama Kedah sejak 2014 lagi.

“Saya akui memang semua pihak lawan akan berusaha menyekat pergerakan saya di bahagian sayap namun berbekalkan segala pengalaman yang saya lalui sebelum ini, saya yakin mampu beri aksi terbaik dengan gandingan rakan seperjuangan bagi membuktikan ketajaman seperti yang kami rancangkan,” katanya.

“Saya akan mengikuti segala perancangan yang diaturkan oleh ketua jurulatih melalui kerja keras bersama semua rakan sepasukan dalam latihan yang dilalui sebelum ini, dan saya yakin mampu memberi impak positif seperti yang diharapkan pada perlawanan nanti.

“Semangat saya turut meningkat apabila melihat pasukan berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir dan saya anggap ia bukan satu pencapaian yang mudah dengan apa yang telah kami dilalui.”

Dalam masa yang sama, pemain yang digelar Messi Kedah ini menuntut rakan seperjuangan supaya tidak mudah leka apatah lagi apabila mungkin selesa beraksi dipadang sendiri.

“Kita tidak boleh leka walau sedikitpun kerana kita tahu Pahang memiliki pemain dan jentera serangan yang cukup tajam dan jika kita beri sedikit ruang mereka mampu mengambil kesempatan menghasilkan gol.

“Kita perlu mengelak dari dibolosi dan jika ini dapat kita pertahankan, maka peluang kita untuk mencapai mendapat bekalan selesa pada perlawanan ini adalah lebih cerah.

“Semangat yang kita bawa untuk aksi peringkat separuh akhir kali ini semakin dirasai perbezaannya dan saya yakin kami mampu mengambil peluang terbaik untuk Kedah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 11:57 AM