PEMAIN Malaysia, Muhibuddin Moharam (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan selepas menewaskan penjaga gol Great Britain, Oliver Payne ketika Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2019 di Johor Bahru.
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my


MAMPUKAH skuad remaja negara menjinakkan Jepun pada aksi terakhir pusingan liga bagi memburu slot penentuan tempat ketiga dan keempat.

Persoalan itu bakal terjawab apabila skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin akan turun menentang anak didik Kyoichi Nagaya pada aksi hoki Piala Sultan Johor 2019 di Stadium Hoki Taman Daya, esok.

Yang pasti antara, Nor Saiful dan Nagaya menyimpan misi penting tatkala Malaysia ingin menamatkan saingan sekurang-kurang tempat ketiga manakala Jepun mengidam pentas final buat pertama kali.

Nor Saiful menegaskan aksi menentang Jepun bakal menonjolkan kredibiliti setiap pemain sama ada mampu menyerap segala tekanan ketika beraksi di padang dan berusaha untuk memburu kemenangan.

“Aksi menentang Jepun akan menjadi perlawanan yang berbeza. Jepun sebuah pasukan yang gemar melakukan serangan dan pemain mereka juga memiliki skil individu yang tinggi.

“Jadi, kita perlu tahu cara terbaik untuk mengimbangi kekuatan mereka dan cuba menidakkan penguasaan terutama di posisi tengah selain benteng pertahanan harus fokus tanpa membuat kesilapan mudah.

“Cara bagaimana kita perlu bertahan dalam perlawanan itu nanti akan menjadi hala tuju buat kita. Saya akan manfaatkan tempoh rehat esok (hari ini) sebaiknya dan mencari formula terbaik bagi menentang Jepun,” kata Nor Saiful.

Sementara itu, Nagaya optimis anak didiknya mampu melakar kemenangan ke atas Malaysia tapi pada masa sama beliau mengingatkan barisan pemain yang diturunkan supaya berwaspada dengan helah anak didik Nor Saiful.

“Ia pertembungan yang sangat penting untuk kami, ini adalah peluang kami mengintai pentas final buat kali pertama. Jadi, kami harus kekal fokus dan tidak terlalu yakin sebaliknya beraksi mengikut perancangan taktikal.

“Malaysia adalah pasukan yang bagus dan keupayaan mereka menewaskan Britain membuktikan pasukan itu tidak boleh di pandang rendah dan kami kena berhati-hati apabila turun pada perlawanan esok,” kata Nagaya.

Jadual Perlawanan Piala Sultan Johor

Esok

Britain mln India (4.05 petang)

Malaysia mln Jepun (6.05 petang)

Australia mln New Zealand (8.35 malam)

Semua perlawanan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 11:37 AM