EMERSON Palmieri
Agensi

FRANK Lampard menerima suntikan semangat selepas pertahanan Chelsea Emerson Palmieri kembali menjalani latihan penuh minggu ini.

Emerson mengalami kecederaan paha ketika menjalani tugasan antarabangsa bersama Itali September lalu dan kembali untuk pertarungan Chelsea dan Liverpool namun kembali mengalami kecederaan pada separuh masa pertama yang berkesudahan tewas 1-2.

Pemain berusia 25 tahun, yang tampil sebagai pertahanan Chelsea paling menyerlah pada awal musim, hanya beraksi selama 15 minit di Stamford Bridge dan sejak itu tidak menyertai aksi Blues.

Marcos Alonso menggantikan Emerson di bahagian bek kiri, tetapi posisi pemain Sepanyol itu dilihat semakin terancam.

Emerson semakin menghampiri kecergasan sepenuhnya dan Chelsea membayangkan pertahanan kelahiran Brazil itu akan kembali dalam perlawanan menentang Ajax minggu depan.

Awal pagi tadi Emerson mengumumkan di Twitter bahawa dia menyertai latihan bersama rakan sepasukan menjelang pertemuan menentang Newcastle.

“Seronok dapat kembali berlatih bersama rakan!” katanya kepada pengikutnya.

Lampard kini menanti penuh debaran berhubung tahap kecergasan N’Golo Kante, Mateo Kovacic dan Andreas Christensen menjelang aksi bertemu Newcastle.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 10:20 AM