Rohan mengangkat tangan sebaik tiba di garis penamat. FOTO NSTP/ASWADI ALIAS
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


ROHAN Du Plooy dari Pro Touch muncul juara namun kelibat pelumba Malaysia mencuri tumpuan pada Peringkat 2 Tour of Peninsular (ToP) 2019, hari ini.

Pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh berjaya menaiki podium apabila meraih kedudukan ketiga di belakang Du Plooy dan Amirhossein Jamshidian Ghlehsefidi dari Foolad Mobarakeh Sepahan yang muncul naib juara.


Rohan (tengah) bersama Amirhossein (kiri) dan Mohd Harrif. FOTO NSTP/ASWADI ALIAS

Turut cemerlang pada Peringkat 2 dari Kuala Terengganu ke Chukai sejauh 157.4 kilometer itu adalah pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff yang merampas jersi merah bagi mendahului kategori bukit.

Dia terikat enam mata dengan Aiman Cahyadi dari Pgn Road Cycling Team namun berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan lebih baik memberikannya kelebihan untuk menyarung jersi.

Pelumba skuad negara, Muhammad Danieal Haikkal Edy Suhaidee terus cemerlang apabila mengekalkan jersi pelumba terbaik Asia dengan masa tujuh jam 28 minit 05 saat.

Manakala jersi kuning kekal milik pelumba skuad kebangsaan Azerbaijan, Elchin Asadov yang mengumpul 7.27:59s.Du Plooy yang mengukuhkan cengkaman bagi jersi biru untuk kategori pecut apabila mengumpul 37 mata.

Saingan Peringkat 3 ToP akan bersambung esok dari Kuantan ke Karak sejauh 172.7km membabitkan tiga zon pecutan di Gambang, Chenor dan Temerloh selain zon pendakian kategori empat di Sri Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 3:55 PM