Dollah anggap saingan Piala Malaysia berbeza. FOTO fail NSTP
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


BIARPUN rekod pertemuan lebih memihak kepada Pahang musim ini, ia bukan jaminan skuad itu mudah untuk menewaskan Kedah pada separuh akhir pertama Piala Malaysia, Sabtu ini.

Pengendali Pahang, Dollah Salleh berkata, kejayaan menewaskan Kedah 1-0 di Kuantan dan seri 0-0 di Alor Setar dalam aksi Liga Super musim ini tidak boleh dijadikan ukuran.

"Memang Pahang memiliki kelebihan berdasarkan dua perlawanan itu tetapi saingan Piala Malaysia terutama di separuh akhir adalah pentas berbeza.

"Sebab itu saya mahu pemain mengekalkan prestasi seperti dipersembahkan pada peringkat kumpulan dan suku akhir jika mahu ke final.

"Saya harap pemain disenaraikan nanti dapat bermain dengan cemerlang dan membawa bekalan selesa apabila bertemu sekali lagi di Kuantan pada 26 Oktober ini," katanya.

Ditanya perkembangan dua pemain import, Safuwan Baharudin dan Saddil Ramdani, masing-masing mewakili negara Singapura dan Indonesia pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Dollah mengesahkan Safuwan akan kembali menyertai skuad itu, esok.

Bagaimanapun, katanya, sama ada Saddil sempat bersama Pahang hanya akan diketahui esok, bergantung kepada jadual penerbangan pemain tengah itu.

"Saya difahamkan penerbangan Saddil esok atau Jumaat ini memandangkan kali ini skuad Indonesia bermain di Bali.

Tapi, Safuwan sah bersama skuad Tok Gajah, esok.

"Tapi, saya percaya jika Saddil tidak dapat bersama pasukan di Alor Setar Sabtu ini, pemain lain boleh memikul tugas diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 3:25 PM