Ronaldo bergelar raja Instagram tewaskan semua selebriti dunia. FOTO REUTERS
Agensi/Esme Jo

CRISTIANO Ronaldo dinobatkan sebagai bintang meraih pendapatan tertinggi di Instagram dengan menewaskan semua pencabar selebriti di seluruh dunia.

Ronaldo yang unggul sebagai superstar global menerima pendapatan sebanyak £38.2 juta (RM204.6j) di platform media sosial tahun lalu.

Pendapatan Insta bintang Juventus dan kapten Portugal itu dua kali ganda berbanding musuh ketatnya yang juga bintang Barcelona, Lionel Messi.

Kajian dibuat terhadap ikon utama serata dunia yang dibayar untuk mempromosikan produk di Instagram menunjukkan bintang sukan meraih pendapatan tertinggi setakat ini.


Carta selebriti superstar meraih pendapatan tertinggi menerusi tajaan produk. FOTO Instagram/Agensi

Angka dicapai oleh pemain Juventus itu jauh mengatasi superstar berpengaruh lain seperti Kylie Jenner dan Selena Gomez.

Pengarang kajian itu Buzz Bingo menilai angka kiriman keseluruhan dihantar oleh setiap bintang sejak 12 bulan lalu dan dibahagikan dengan jumlah pendapatan diisytiharkan sepanjang tempoh itu.

Ronaldo, 34, membuat 34 kiriman tajaan dalam Instagram sejak setahun lalu untuk mendapat £38.2j (RM204.6j) atas usahanya itu.

Pemain yang menjaringkan gol ke-700 kariernya ketika menentang Ukraine, kelmarin, meraih £780,000 (RM4.1j) untuk setiap kiriman dibuat.

Secara perbandingan, kiriman tajaan Messi, 36 mengutip meraih angka £18.7j (RM100.1j) dengan menerima £518,000 (RM2.8j) setiap kali membuat kiriman.

Bintang realiti televisyen Kendall Jenner berada di tempat ketiga tertinggi sepanjang tempoh sama menerima £12.7j (RM68j) dengan at £489,000 (RM2.6j) setiap kiriman.

Biarpun sudah bersara daripada bermain bolasepak sejak enam tahun lalu, status global dimiliki oleh David Beckham meletakkannya di tempat keempat dalam senarai itu.

Promosi Beckham £8.6j (RM46.1j) di Insta menewaskan aktres Selena Gomez yang berada di tempat kelima malah lebih tinggi daripada apa diterima oleh Kylie Jenner dalam tempoh yang sama.

Kylie, selebriti meraih pendapatan tertinggi Insta Amerika Syarikat menerusi tiga kirimannnya sejak 12 bulan lalu dengan kos £1j (RM5.3j) setiap satu.

Dengan enam bintang sukan berada senarai 10 teratas, ia membuktikan syarikat iklan lebih yakin selebriti mana menjadi pilihan mereka untuk mendapatkan audien lebih besar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 3:01 PM