KOMPANY dilantik sebagai pemain merangkap jurulatih pada Mei. FOTO Reuters
Reuters

KELAB gergasi Belgium Anderlecht didenda maksimum 5,000 euro (RM23,122) hari ini kerana membenarkan Vincent Kompany melatih pasukan mereka tanpa lesen yang diperlukan, kata persatuan bola sepak Belgium.

“Kelab itu melanggar peraturan buat masa yang lama dan biarpun ia melanggar peraturan, ia tidak menghalang mereka memperkenalkan jurulatih kepada umum tanpa lesen,” kata jawatankuasa pelesenan persatuan itu dalam satu kenyataan.

Belgium mahukan semua ketua jurulatih di liga utama mempunyai lesen Pro UEFA, sesuatu yang tidak dimiliki Kompany.

Dia dilantik sebagai pemain merangkap jurulatih pada Mei sebagai usaha mengubah nasib kelab yang pernah dianggap paling berjaya sebelum ini.

Anderlecht menegaskan bahawa Simon Davies, bekas pengarah akademi Manchester City mengikuti Kompany ke Brussels, adalah ketua jurulatih yang sebenarnya tetapi jawatankuasa itu menggunakan kenyataan media kelab itu dan klip video memperkenalkan Kompany untuk menafikannya.

Anderlecht juga diberi teguran keras kerana ‘ tidak menghormati peraturan’.

Anderlecht hanya menang dua daripada 10 perlawanan liga di bawah kendalian Kompany, yang juga bermain tetapi kemudiannya mengalami kecederaan.

Mereka menduduki tangga ke-13 daripada liga membabitkan 16 pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 12:44 PM