KIRADECH
AFP

TAMPIL dengan kereta sports mewah dan jam bertatah permata, Kiradech Aphibarnrat adalah antara bintang golf yang menarik pemain muda remaja Thailand dengan ganjaran lumayan.

Digelar ‘Pro Arm’ oleh media tempatan, Kiradech yang bertubuh gempal, dengan karakter ranggi dan tabiat menghisap vape di lapangan golf, membuatkannya dibandingkan dengan Tom Daly, pemain Amerika Syarikat yang gemar merokok di antara lubang.

Pemain berusia 30 tahun itu juga menjadi pemain Thailand pertama menyertai Jelajah PGA dan sejak itu mendapat AS$2.3 juta (RM9.64 juta) menerusi hadiah kemenangan dan penajaan.

“Saya bekerja keras, saya mendapat keputusan bagus dan mendapat hadiah. Saya fikir ia adil,” kata pemain berusia 30 tahun itu sambil menunjukkan Ferrari berwarna perak dan motosikal Ducati dimilikinya.

“Ia mungkin boleh memberi inspirasi kepada kanak-kanak,” katanya sambil tersenyum.

Thailand yang memiliki cuaca panas, hotel resort dan lapangan golf di mana-mana menjadikan negara itu destinasi golf utama.

Kebelakangan ini pemain Thailand mula mencabar kejohanan tertinggi, menyertai pemain daripada negara yang lebih diiktiraf sebagai kuasa golf Asia seperti Korea Selatan dan Jepun.

Pemain ternama kini memberi inspirasi kepada kelompok baru pemain muda, di mana ibu bapa melihat sukan itu sebagai tiket mengubah nasib.

“Jika saya bermain dengan baik, saya boleh jadi kaya seperti Pro Am,” kata Natapat Thongchitpakdee,10 yang menjalani latihan hayunan di lapangan golf yang dimiliki oleh Kiradech.

Mengetuai perubahan bersama-sama Kiradech adalah Jazz Janewattananond -- bintang yang meningkat pantas, menjadi pemain profesional pada 2010 -- dan adik beradik Jutanugarn, Ariya dan Moriya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 12:01 PM