KETUA jurulatih olahraga, Mohd. Manshahar Abd Jalil jawab pertanyaan wartawan selepas sidang media KOM mengumumkan atlet ke Sukan SEA 2019 Filipina di Wisma MOM. FOTO/OWEE AH CHUN.
Oleh Iskandar Shah Mohamed
sukan@hmetro.com.my


Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi atlet pada Kejohanan Terbuka India.

Pada kejohanan di Ranchi, Jharkhand berakhir kelmarin itu, Malaysia membawa pulang dua pingat perak dan satu gangsa menerusi acara 100 meter (m) lelaki, kuartet 4x100m wanita dan 4x400m berganti-ganti lelaki.

Selain raja pecut negara, Jonathan Nyepa, perak diraih kuartet wanita menerusi Zaidatul Husniah Zulkifli, Siti Fatima Mohamad, S Komalam Shally dan Nurul Faizah Asma Mazlan. Manakala, gangsa menerusi kuartet Putra Azrul Syazwan Azman, Luqmanul Hakim Khairul Akmal, Muhammad Ilham Suhaimi dan Muhammad Saiful Safwan Saifuddin.

Mohd Manshahar berkata, kejayaan pungutan tiga pingat itu menunjukkan petanda positif kem olahraga negara sebelum menyertai Sukan SEA Filipina, hujung bulan depan.

“Namun, semua atlet masih perlu memperbaiki prestasi sedia ada dan mengekalkan momentum menjelang temasya dwitahunan yang hanya berbaki kurang 50 hari.

“Saya dan barisan kejurulatihan akan membuat penilaian menyeluruh bagi memastikan atlet bersedia sepenuhnya ke Filipina nanti,” katanya.

Kejohanan edisi ke-59 anjuran Persekutuan Olahraga India (AFI) itu menjadi medan terbaik buat 15 atlet olahraga kebangsaan menguji prestasi sebelum mempersiapkan diri ke Sukan SEA.

Pada kejohanan bermula Khamis minggu lalu itu, Jonathan, 23, berjaya mencatat masa 10.47 saat (s) iaitu hanya tewas 0.01s kepada Amiya Kumar Mallick yang mewakili pasukan Odisha pada aksi final 100m.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sebelum ini kekal optimis menyasarkan kutipan lima pingat emas buat kontinjen negara di Filipina.

Untuk rekod, pada edisi di Kuala Lumpur 2017, kem olahraga memperbaiki pencapaian apabila berada di tempat ketiga di belakang Vietnam dan Thailand dengan mengumpul lapan emas, lapan perak dan sembilan gangsa.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 6:30 AM