Joseph serap 11 pemain muda ke Sukan SEA. FOTO NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


SKUAD wanita mendapat 'enjin baru' menjelang saingan Sukan SEA 2019 dengan kemasukan 11 pemain muda ke dalam skuad senior.

Ketua jurulatih negara, Jacob Joseph 11 pemain itu adalah daripada skuad bawah 19 tahun (B-19) yang dibimbingnya pada kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018.

Katanya, pemain terbabit memperagakan mutu permainan berkualiti di kejohanan itu dan yakin dapat membentuk pasukan mantap biarpun tempoh singkat.

"Kita menggugurkan tiga pemain senior memandangkan kebanyakan mereka berusia 30-an.

Harapan saya pemain muda ini akan membentuk pasukan yang kuat kerana sasaran kita juga untuk kejohanan AFF dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) pada 2020 selain Sukan SEA.

"Saya lihat bakat mereka boleh diketengahkan kerana bermain dengan baik walaupun hanya berlatih 10 hari dan menyaingi pasukan lain di AFF 2018," katanya dihubungi, hari ini.

Mengulas undian bola sepak di Sukan SEA 2019 hari ini, Jacob berkata, sasaran beliau untuk menewaskan Filipina untuk mara ke peringkat seterusnya.

Katanya, walaupun tewas 0-3 kepada Filipina dalam saingan AFF 2019, ia bukan alasan untuk skuad negara yang bertanding kategori B untuk membuat kejutan.

"Saya yakin dengan persediaan rapi kita mampu beri saingan walaupun mereka ada kelebihan dari segi fizikal berbanding pemain kita.

"Skuad mereka dibarisi pemain luar dari Amerika Syarikat yang belajar dan bermain di universiti di sana.

"Saya memiliki rakaman perlawanan AFF 2019 dan akan meneliti setiap aspek kekuatan dan kelemahan pasukan bertanding," katanya yang baru pulang dari Jepun dan bakal memulakan latihan bersama pemainnya esok.

Mengulas lanjut, Jacob berkata, segala perancangan taktikal dan latihan pasukannya akan berdasarkan kepada pemerhatian terhadap video perlawanan itu.

"Skuad wanita sudah memulakan latihan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang sejak Isnin minggu lalu di bawah kendalian penolong jurulatih, Kok Keng Lin.

"Saya difahamkan tumpuan kini untuk mengembalikan tahap kecergasan pemain yang berehat hampir dua bulan selepas kejohanan berkenaan," katanya.

Selain Filipina, Malaysia turut diundi bersama Myanmar dalam Kumpulan A, manakala Kumpulan B dibarisi Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad wanita di Sukan SEA adalah muncul naib juara pada 1995 manakala pada edisi 2017, terkandas di pusingan pertama apabila kalah semua empat perlawanan kepada Filipina, Myanmar, Thailand dan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 2:02 PM