DANIIL Medvedev. FOTO AFP
AFP

DANIIL Medvedev, pemain nombor satu dunia Russia menandatangani topi dan bola tenis untuk peminatnya di Moscow, beberapa jam selepas kembali dari China di mana dia menjuarai Masters Shanghai Ahad lalu.

Selepas sekian lama menunggu, tenis Russia kini diceriakan dengan generasi baharu pemain tenis lelaki muda dan Medvedev, 23, mendahului senarai itu dan kini di tangga keempat ranking dunia.

Keletihan selepas penerbangan jauh dan mengakui hanya minum kopi sepanjang tempoh itu, Medvedev tampil untuk swafoto bersama peminat.

“Saya rasa banyak sokongan daripada Russia. Ia sesuatu yang besar dan hebat,” katanya.

“Terdapat banyak sokongan daripada media sosial dan daripada rakan saya, kerana ramai rakan saya masih orang Russia.”

Peminat memuji pengaruh yang dibawanya.

“Perkara utama adalah tenis menjadi lebih popular di Russia, semuanya adalah kerana dia,” kata seorang peminat, seorang pelajar Daniil Trefilov, 19.

Trefilov berharap dapat menyaksikan Medvedev beraksi untuk Piala Kremlin minggu ini -- Medvedev berkata dia akan memberi keputusan sama ada akan menyertainya esok.

Seorang lagi peminat, David Umarkhadzhiyev yang mengetuai kumpulan peminat Russia dalam talian berkata dia ‘jatuh cinta dengan sukan itu’ selepas menyaksikan permainan Medvedev.

“Selepas (Marat) Safin dan (Yevgeny) Kafelnikov suasana tenis menjadi suram," kata Umarkhadzhiyev merujuk kepada pemain ternama daripada dekad lalu.

“Tiada pemain lelaki dan tiba-tiba satu atau dua tahun lalu, Medvedev, (Karen) Khachanov dan (Andrei) Rublev muncul."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 11:43 AM