VORM menggantikan Hugo Lloris mengalami kecederaan REUTERS
Reuters

TOTTENHAM Hotspur mengambil semula Michel Vorm sehingga akhir musim ini sebagai pilihan tambahan selaku penjaga gol selepas kapten Hugo Lloris mengalami kecederaan, kata Kelab Liga Perdana Inggeris itu hari ini.

Lloris, penjaga gol kelahiran Perancis itu diketepikan sehingga Januari selepas sikunya terkehel ketika pasukannya tewas 0-3 kepada Brighton & Hove Albion pada 5 Oktober dan Vorm, pemain tanpa ejen kembali bersaing dengan Paulo Gazzaniga untuk tempat dalam kesebelasan utama.

Pemain Belanda Vorm, menyertai Spurs pada 2014 dari Swansea City dan membuat 47 penampilan dalam semua kejohanan selama lima musim sebelum meninggalkan kelab London itu sebaik kontraknya tamat.

“Saya amat berbangga, gembira dapat kembali. Ia sesuatu yang mudah kerana tiada apa yang berubah, saya berada di sini selama lima musim jadi bagi saya, ia bagaikan pulang ke rumah,” kata Vorm menerusi laman web Tottenham.

“Jelas sekali saya belum mencapai tahap kecergasan untuk perlawanan jadi kami perlu tingkatkan, tetapi saya rasa bagus.”

Tottenham bermula buruk musim ini, tewas tiga daripada lapan perlawanan liga untuk berada di tangga kesembilan dengan 11 mata.

Mereka juga melakar kekalahan terburuk di laman sendiri iaitu 2-7 kepada Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 11:08 AM