NASIB Portugal di tangga kedua masih tidak menentu.
AFP

UKRAINE menempah tiket ke Euro 2020 selepas berjaya melepasi Portugal ketika Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ke-700 sepanjang kariernya pada malam yang dicemari insiden penyokong Bulgaria melakukan penghinaan berunsur perkauman ke atas pemain England sebelum mereka dibelasah 0-6 di Sofia.

Skuad Andriy Shevchenko dengan rekod tanpa kalah layak ke pusingan akhir musim panas depan dengan baki satu perlawanan sebagai pendahulu Kumpulan B hasil jaringan Roman Yaremchuk dan Andriy Yarmolenko pada separuh masa pertama, bermakna penalti Ronaldo pada minit ke-72 belum cukup untuk menyelamatkan Portugal.

Ukraine menyertai Poland, Russia, Itali dan Belgium dalam kejohanan berbilang tuan rumah yang bermula di Rome pada 12 Jun, dengan Shevchenko -- yang menjaringkan 48 gol buat Ukraine dalam 111 perlawanan -- membuktikan kehebatannya sebagai pengurus sama seperti ketika bergelar pemain.

Nasib Portugal di tangga kedua masih tidak menentu dengan Serbia ketinggalan satu mata di belakang mereka dengan baki dua perlawanan selepas menewaskan Lithuania 2-1.

Portugal mendominasi separuh masa kedua dan merapatkan jaringan apabila Ronaldo meledak penalti untuk menjadikannya gol ke-700 buat kelab dan negaranya, namun gagal mencari gol penyamaan biarpun mendapatkan beberapa peluang yang bagus.

“Ada hari seperti ini, di mana bola tidak mahu masuk,” kata pemain Portugal Danilo.

“Tidak perlu membuat perkiraan sekarang: kami perlu menang dua perlawanan berikutnya untuk layak ke Euro 2020.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 10:09 AM