(DARI kanan) Meijers, Ovechkin, Sofian Nabil, Harrif dan Lebas bergambar selepas sidang media Tour of Peninsular di Hotel Permai. - FOTO Aswadi Alias
Azlan Muhammad Zain
sukan@hmetro.com.my


DUA pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) bakal menjadi tumpuan pada Tour of Peninsular (ToP) 2019 yang bermula esok.

Pakar pecutnya, Mohd Harrif Salleh menjadi sandaran untuk menyerlah pada dua peringkat awal dengan laluan landai apabila saingan pertama bermula dari Dungun ke Kuala Terengganu sejauh 180.6 kilometer.

"Peringkat pertama terbuka untuk sesiapa memenanginya, bukan saja saya namun pakar pecut pasukan lain juga berkemampuan. Namun jika beraksi di Malaysia sudah pasti saya beri yang termampu.

"Seperti Le Tour de Langkawi (LTdL) April lalu (menang satu peringkat), ia bukan mustahil dan sudah pasti lebih bagus jika menang di ‘kampung sendiri’, jelasnya yang lebih mesra dengan panggilan Mamat.”

Rakan sepasukan dari Russia, Artem Ovechkin pula menjadi pilihan utama menjuarai jersi kuning berdasarkan kemampuannya yang pernah menawan pendakian di Cameron Highlands pada LTdL 2018.

Malah pemenang jersi kuning LTdL 2019, Benjamin Dyball dari Team Sapura Cycling (TSC)sah tidak turut serta atas alasan keluarga.

"Benar saya pernah melakukannya pada 2018 apabila memulakan gerakan pada peringkat awal pendakian, jadi tidak mustahil untuk saya mengulanginya namun terdapat juga beberapa pelumba yang bagus kali ini.

"Saya meletakkan sasaran untuk mencapai kedudukan tiga terbaik terlebih dulu. Motivasi berada dalam keadaan terbaik," jelas Ovechkin yang turut dikenali sebagai Ah Chong.

Antara pelumba lain yang dilabel mampu mencabar adalah Thomas Lebas dari Kinan Cycling Team (pemenang jersi kuning Tour of Indonesia 2019) dan Jeroen Meijers dari Taiyuan Miogee Cycling Team (pemenang jersi kuning Tour of China I).

Edisi pertama ToP anjuran Motoshoot Event Sdn Bhd, mempertandingkan lima peringkat namun tumpuan bakal terarah kepada peringkat keempat yang berakhir di Cameron Highlands yang dilabel ‘queen stage’.

Pelumba yang berjaya meraih kemenangan dengan catatan masa baik diramal tidak berdepan masalah memenangi jersi kuning selaku juara individu apabila perlumbaan berakhir pada Sabtu nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 6:16 PM