SYAHIR (kiri) dan Zulkifli dikenakan hukuman gantung 24 bulan oleh PSM.
Ferzalfie Fauzi
sukan@hmetro.com.my


SEDIA buat rayuan. Itulah yang bermain di fikiran bekas tekong negara, Muhammad Zulkifli Abd Razak selepas dia dan Mohd Syahir Rosdi dikenakan hukuman gantung 24 bulan oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Menurut Zulkifli atau terkenal dengan panggilan 'Sobey' dia bersedia membuat rayuan kepada PSM meminta agar hukuman dikenakan dapat dikurangkan.

"Ia tiada masalah buat saya, kerana saya fikir kami masih boleh membuat rayuan kepada PSM. Saya dan Panjang (Syahir) anggap ini perkara biasa dikenakan penggantungan," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Ujarnya, walaupun dikenakan hukuman seperti itu namun ia sedikit pun tidak meluntur semangatnya untuk kembali mewakili skuad kebangsaan.

"Saya reda saja dengan keputusan ini. Saya tidak pernah kena hukuman seperti ini, tapi kalau diarah sebegitu saya akan buat. Pada mulanya, saya tahu perkara ini daripada laporan media. Hari ini, saya sudah menerima surat berkenaan dan akan membuat rayuan dalam tempoh terdekat," katanya.

Dalam satu kenyataan PSM ditandatangani Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh semalam, kedua-dua pemain berkenaan dibenarkan membuat rayuan kepada badan induk berkenaan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat dikeluarkan.

Sebelum ini Jawatankuasa Tatatertib PSM bersidang pada 12 Oktober lalu sebelum isu berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Exco semalam.

Tempoh penggantungan 24 bulan diterima Zulkifli dan Syahir mula berkuatkuasa 27 Jun lalu dan selain penggantungan, kedua-duanya dikehendaki membantu pembangunan sepak takraw tanah air selama 30 jam dengan cara dan masa akan dibincangkan antara pemain dan pengurusan PSM.

Pencapaian terbaik kedua-dua pemain ini ialah menamatkan kemarau 24 tahun kilauan pingat emas di Sukan Asia tahun lalu selepas kali terakhir di Hiroshima pada 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 5:58 PM