KEDAH tagih sokongan padu penyokong ketika menentang Pahang, Sabtu ini. - FOTO Rozainah Zakaria
Izzali Ismail
sukan@hmetro.com.my


KEDAH perlu tampil aksi terbaik untuk mencari bekalan selesa pada separuh akhir pertama Piala Malaysia bertemu Pahang pada Sabtu ini yang juga aksi terakhir skuad Lang Merah di Stadium Darul Aman musim ini.

Peluang beraksi di gelanggang sendiri harus dimanfaatkan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak dalam usaha melangkah ke final Piala Malaysia musim ini.

Menurut jurucakap Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM), Mohd Safarizal Mohd Sobri, aksi di Stadium Darul Aman bakal menjadi pentas terbaik untuk Kedah buktikan keupayaan di hadapan 25,000 penyokong yang akan hadir.

"Kami berharap momentum Kedah dapat diteruskan dan untuk aksi terakhir musim ini di Stadium Darul Aman pastinya kami mahu melihat keupayaan terbaik Kedah sebelum berkunjung ke Stadium Darul Makmur.

"Impian kami mahu melihat Kedah meraih bekalan selesa dan seterusnya mencerahkan peluang ke peringkat akhir ini dan kami tidak kisah seandainya Kedah bertemu Selangor atau Johor Darul Ta'zim (JDT)."

"Berdasarkan prestasi terkini serta semangat kebangkitan ditunjukkan pemain sebelum ini, kami yakin Kedah mampu melangkah ke final berdasarkan rekod pertemuan dalam saingan Liga Super yang meyaksikan tidak banyak jurang perbezaan dan kami hanya kalah 0-1 di Kuantan.

"Peluang Kedah melangkah ke final terbuka luas andai menang dengan bekalan selesa di Stadium Darul Aman," kata Safarizal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 5:45 PM