BALE menjaringkan gol ketika bertemu Croatia.
AFP

GARETH Bale memastikan satu mata milik Wales apabila mereka seri 1-1 dengan naib juara Piala Dunia Croatia awal pagi tadi yang meletakkan kedudukan mereka dalam kelayakan Euro 2020 menjadi semakin genting.

Bale yang berdepan masalah memulakan kempen di Real Madrid musim ini menjaringkan gol pada masa kecederaan separuh masa pertama selepas Nikola Vlasic membuka jaringan buat skuad kendalian Zlatko Dalic.

“Kami perlu menang dua perlawanan berikutnya dan itulah yang kami tumpukan. Ia bukan mudah tetapi kami mampu lakukannya,” kata jurulatih Wales, Ryan Giggs yang pasukannya akan berkunjung ke Azerbaijan sebelum menanti kunjungan Hungary pada November.

Tambahnya: “Apabila Gareth mendapat posisinya, dia tidak akan mengecewakan anda, cuma perlu tenang, tidak banyak peluang tetapi apabila dia mendapatkannya dia akan menyempurnakannya.”

Dalic yang membantu pasukannya mara ke final Piala Dunia tahu lalu berkata, satu-satunya perlawanan yang tinggal cukup penting dalam harapan mereka mara ke pusingan akhir.

“Kami bermula baik, menjaringkan gol tetapi gagal meneruskannya,” kata Dalic.

“Kami tidak gembira dengan keputusan itu. Perlawanan terakhir kami akan menjadi penentu,” katanya menjelang aksi menentang Slovakia pada 16 November.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 8:54 AM