VETTEL (kiri) dan Leclerc selepas tamat sesi kelayakan GP Jepun di Suzuka. - FOTO EPA
AFP

PELUMBA Jerman, Sebastian Vettel meraih petak pertama di hadapan rakan sepasukan Ferrari, Charles Leclerc menjelang perlumbaan Formula Satu Grand Prix Jepun jam 2.10 petang ini.

Pelumba Mercedes, Valtteri Bottas di petak ketiga manakala juara dunia, Lewis Hamilton, bermula dari petak keempat.

Sesi kelayakan yang sepatutnya berlangsung semalam, ditunda ke pagi ini susulan impak Taufan Hagibis – iaitu taufan paling kuat pernah melanda Jepun semalam.

Vettel yang ketinggalan di belakang Leclerc dalam sembilan perlumbaan terakhir melengkapkan sesi kelayakan di litar sepanjang 5.8km dengan catatan rekod 1:27.064s mengatasi pelumba Monegasque berusia 21 tahun dengan kelebihan 0.189s.

Kedudukan petak pertama itu adalah yang ke-57 dalam karier Vettel dan hanya yang kedua musim ini selain membolehkan Ferrari meraih petak utama kelima berturut-turut dengan Leclerc bermula di barisan hadapan dalam empat perlumbaan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 11:21 AM