MUHAMMAD Zawawi
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Dua pasukan benua negara, Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC) bakal menjadi tumpuan pada edisi pertama Tour of Peninsular (ToP) 2019 yang bermula Selasa ini.

Menurut penganjur perlumbaan, Motoshoot Event Sdn Bhd, kedua-dua pasukan berstatus benua itu mempamer persembahan membanggakan di Jelajah Asia, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

TSG kini mendahului kedudukan Jelajah Asia selepas mengumpul 2,215 mata dengan TSC meraih 1,819.97 mata yang secara tidak langsung menjadikan ToP 2019 medan meraih sebanyak mungkin mata.

“Pelumba TSC, Benjamin Dyball mengharungi musim baik apabila menjuarai jersi kuning Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 selain tempat ketiga keseluruhan Tour of Qinghai Lake dengan kedua-duanya adalah berstatus hors class,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Motoshoot Event Sdn Bhd, semalam.

TSC pula bakal diperkuatkan rakan sepasukan Dyball dari Australia, Marcus Culey yang turut meraih satu peringkat LTdL 2019 serta pelumba tempatan, Muhammad Zawawi Azman.

“TSG menaruh harapan kepada juara jersi kuning LTdL 2018, Artem Ovechkin yang bakal mendapat sokongan pemenang jersi kuning Tour de Siak 2019, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki selain jaguh pecut, Mohd Harrif Saleh,” tambah kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, tiada sebarang jaminan untuk mencapai kejayaan sekiranya mereka gagal mempamer prestasi terbaik selepas ToP 2019 turut menampilkan pasukan handalan Asia yang lain seperti HKSI Pro Cycling Team (Hong Kong) dan Vino - Astana Motors (Kazakhstan).

Malah, sejumlah pasukan sudah biasa dengan perlumbaan di Malaysia seperti Kinan Cycling Team (Jepun), Aisan Racing Team (Jepun), St George Continental Cycling Team (Australia), Oliver’s Real Food Racing (Australia), 7Eleven Cliqq - Air21 by Roadbike Philippines (Filipina) dan KFC Cycling Team (Indonesia).

Secara keseluruhan, ToP 2019 menjanjikan saingan sengit dengan kehadiran 18 pasukan berstatus benua serta dua pasukan kebangsaan iaitu Malaysia dan Azerbaijan.

Perlumbaan berstatus 2.1 berkenaan adalah kali pertama dianjurkan di Malaysia dengan ToP 2019 dijadual berlangsung sebanyak lima peringkat dari 15 hingga 19 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 6:00 AM