OLTMANS bawa anak buah berlatih di Genting Highlands.
Ferzalfie Fauzi
sukan@hmetro.com.my


BAGI membiasakan diri dengan cuaca di London iaitu lokasi saingan playoff Sukan Olimpik Tokyo, skuad hoki negara akan mengadakan latihan di kawasan tanah tinggi di Genting Highlands minggu depan.

Menurut ketua jurulatih kebangsaan, Roelant Oltmans mereka akan berkampung selama tiga hari disana dengan melakukan latihan berkaitan fizikal.

“Minggu depan kita akan ke Genting Highlands yang bercuaca dingin. Jadi mereka seperti berada di Eropah,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Ujar Oltmans, selain latihan fizikal anak buahnya juga akan melalui sesi menonton video dan perbincangan dengan lebih mendalam menjelang aksi playoff kelayakan Sukan Olimpik Tokyo menentang Great Britain 1 dan 3 November ini.

“Kita akan bincang mengenai strategi dengan lebih mendalam menjelang aksi bertemu Great Britain. Saya juga mahu pemain berada dalam keadaan segar sebelum berangkat ke Eropah.

“Sekarang ini kita hanya memikirkan mengenai konsisten. Selepas ini kita bukan akan beraksi dalam satu atau empat suku tapi lapan suku permainan. Kita sudah pasti mempunyai peluang,” katanya.

Seramai 21 pemain berada dalam skuad kebangsaan setakat ini dan seorang akan digugurkan sebaik mereka menamatkan latihan selama tiga hari di Genting Highlands. Ditanya mengenai nasib bakal dihadapi pengurusan tertinggi jika Malaysia tidak dapat melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020, Oltmans mengakui tidak mahu memikirkan soal berkenaan.

“Saya tidak memikirkan soal berkenaan dan hanya fokus kepada pasukan saja. Perkara itu bukan berada dalam kuasa saya. Saya hanya mahu memberikan yang terbaik dalam tugasan saya. Dalam masa sama saya masih percaya bahawa kita akan melayakkan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 11:18 PM